Ini antara 9 produk kosmetik yang mengandungi racun berjadual

SEMBILAN jenama kosmetik termasuk dua jenama terkenal di Malaysia dikesan mengandungi racun berjadual oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM).

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sembilan produk berkenaan ialah Deeja Cosmetics (Laika Cream, Zulai Cream, Yus Cream), Dnars Luvee Cream (Normal & Sensitif) dan Gold Lifthing Serum (Night), Sparkle Beauty Cream dan Sun Day Cream, Qeziger Age-locking Recharging Spot AM Cream dan MS Skinz Night Cream kerana dikesan mengandungi racun berjadual seperti merkuri, hydroquinone, tretinoin dan betamethasone 17-Valerate.

“Kami menggesa orang awam untuk mengelak daripada membeli dan menggunakan sembilan produk kosmetik ini.

“Notifikasi produk kosmetik ini sudah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi KKM berikutan pengesanan bahan racun berjadual di dalamnya sekaligus tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, produk yang mengandungi betamethasone 17-valerate, hydroquinone dan tretinoin adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan.

“Penggunaan produk yang mengandungi bahan berkenaan tanpa pengawasan profesional kesihatan dan secara tidak terkawal boleh menyebabkan kesan sampingan yang tidak diingini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, penjual dan pengedar produk kosmetik ini perlu menghentikan penjualan dan pengedarannya serta-merta manakala penjualan dan pengedaran produk itu melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

“Individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

“Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, orang awam yang sedang menggunakan produk kosmetik ini dinasihatkan segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.

Katanya, orang awam digalakkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman web rasmi NPRA atau melalui aplikasi ‘NPRA Product Status’ yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kesan sampingan bagi hydroquinone boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini, kulit menjadi hipersensitif, boleh menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV berbahaya dan boleh meningkatkan risiko kanser kulit.

“Betamethasone valerate pula boleh menyebabkan bahagian kulit muka yang disapu menjadi nipis dan mudah mengalami iritasi, berjerawat, perubahan pada pigmentasi kulit dan meningkatkan risiko untuk diserap ke dalam sistem peredaran darah yang boleh membawa kesan mudarat.

“Selain itu, penggunaan tretinoin tanpa pengawasan profesional kesihatan boleh menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari,” katanya.

Menurutnya, merkuri pula dilarang dalam produk kosmetik kerana boleh memudaratkan kesihatan malah ia boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan buah pinggang dan sistem saraf.

“Ia juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan. Merkuri juga boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit,” katanya.

Sumber : HMetro

Be the first to comment on "Ini antara 9 produk kosmetik yang mengandungi racun berjadual"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*